NEW DELHI - Tentera Udara India mengesahkan buat pertama kalinya menembak jatuh salah satu helikopter sendiri ketika pertempuran dengan Pakistan di Kashmir pada Februari lalu.
Tembakan itu turut meragut kesemua enam anak kapal berkenaan.
"Sebuah mahkamah siasatan selesai dan adalah kesilapan kami bahawa peluru berpandu mengenai helikopter kami. Kami akan memastikan kesilapan tersebut tidak diulangi pada masa akan datang," kata Ketua Angkatan Udara, Rakesh Kumar Bhadauria kepada pemberita.
Helikopter tentera terhempas ketika pesawat India dan Pakistan terlibat dalam pertempuran paling dahsyat di Kashmir.
Sehari sebelumnya, pesawat India telah mengebom 'kem keganasan' yang digunakan oleh kumpulan militan Jaish-e-Mohammed di kawasan Balakot di Pakistan.
Tentera India pada masa itu tidak memberi alasan punca kemalangan helikopter tersebut walaupun ia telah dilaporkan media.
Bagaimanapun berapa banyak pesawat lain yang ditembak jatuh masih menjadi kekeliruan apabila Pakistan mendakwa ia melibatkan dua jet pejuang India tetapi India mengatakan hanya satu pesawat.
Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan sejak 1947 dan telah meletus dua perang serta beberapa pertempuran.
Ketegangan meningkat sejak India membatalkan autonomi bahagian Kashmir yang dikawalnya pada 5 Ogos. - AFP