Harimau Malaya siap sedia berdepan Sri Lanka

Iklan
Aksi pemain pasukan bola sepak kebangsaan ketika menjalani sesi latihan menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui barisan pemainnya sudah bersedia mengharungi aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Menurut Cheng Hoe, beliau optimis Harimau Malaya mampu memperagakan rentak terbaik sekalipun ada beberapa pemain dihimpit masalah kecederaan sehingga mengganggu persiapan mereka.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini saya amat berpuas hati dengan barisan pemain yang dipanggil kali ini walaupun masih ada beberapa pemain yang cedera selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat ketika mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Sudah semestinya kita memerlukan mereka cergas 100 peratus dan pada masa sama, kita mahu mereka bersedia untuk perlawanan ini (Sri Lanka) dan paling utama aksi bertemu Vietnam nanti,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Iklan

Selepas berdepan Sri Lanka, Harimau Malaya dijadualkan menentang Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis depan.

Cheng Hoe (dua, kanan) memerhatikan pemain pasukan bola sepak kebangsaan menjalani sesi latihan menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

Cheng Hoe berkata, Harimau Malaya perlu meraih keputusan yang positif pada pertemuan dengan Sri Lanka untuk mendapatkan kembali momentum selepas beraksi cemerlang dalam dua aksi peringkat kumpulan bulan lalu.

Iklan

"Setiap pemain yang dipanggil akan diberi peluang (beraksi) termasuk pemain-pemain muda. Sudah tentu saya tidak mahu mereka rasa tertekan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Buat masa ini, saya tidak akan memanggil pemain-pemain baharu dan hanya selepas perlawanan menentang Sri Lanka, kita akan memutuskan 23 pemain yang akan dibawa ke Vietnam.

"Mereka adalah pemain yang betul-betul bersedia 100 peratus untuk membawa cabaran negara kerana saya tahu perlawanan itu nanti bukan sesuatu yang mudah buat kita,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Lanka, Nizam Packeerali berkata, aksi persahabatan itu menjadi medan buat mereka membuat persiapan sebelum berdepan Korea Selatan dalam saingan Kumpulan H Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Kim Il-Sung, Pyongyang minggu depan.

"Kami pernah beraksi menentang Malaysia sebelum ini. Jadi saya harap perlawanan kali ini akan menjadi aksi yang terbaik berbanding sebelum ini. Paling penting para pemain saya dapat memperbaiki corak permainan masing-masing,” ujarnya.