KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd berjaya mengurangkan nilai tanggungan hutang kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion dalam tempoh setahun melalui penjualan aset dan pelaburan.
Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan berkata, dalam tempoh tersebut juga, syarikat pelaburan strategik negara itu telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM9 bilion serta dijangka kembali pulih dan mampu menjana potensi pendapatan berjumlah RM5 bilion tahun ini.
"Walaupun nilai aset yang kita ada masih di tahap yang lama iaitu RM130 bilion, tapi hutang yang kita ada telah turun sebanyak RM10 bilion, jadi dari segi aset bersih kita ataupun lembaran imbangan bersih kita nampak lebih kukuh lagi,” katanya dalam temu bual di RTM hari ini.
Shahril turut berkata bahawa proses penjualan aset juga dilihat mampu menstruktur semula aset sedia ada agar lebih mampan dan berisiko rendah.
"Kalau dari jangkaan kita, Khazanah boleh dan sepatutnya ada hutang dalam lingkungan RM35 bilion, sebab dengan menggunakan kombinasi hutang dengan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh maksimumkan pendapatan kita.
"Sepertimana kalau syarikat lain, kalau dia nak beli aset dia takkan beli aset dengan ekuiti sahaja, dia akan beli ekuiti dengan hutang sekali,” tambahnya.
Katanya, penjualan aset merupakan satu strategi perniagaan dan rakyat tidak perlu khuatir mengenainya.
"Kalau kita tengok dari segi pandangan umum, (mereka) mungkin tersilap, mereka mungkin ingat kita menjual sahaja tetapi dari segi lain, bila kita menjual aset dan kita menjana duit atau dana baharu daripada jualan aset itu, dana itu akan digunakan untuk dua perkara, satunya dilaburkan semula dalam aset baharu supaya menjana keuntungan (bagi) Khazanah dan kerajaan,” katanya.
Khazanah, menurut Shahril, menggunakan dana itu untuk mengurangkan jumlah hutang ditanggung serta berperanan menjana pulangan hasil daripada aset yang dibeli, sekaligus meningkatkan pendapatan kerajaan melalui hasil dividen.
Bagi tahun 2018, Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya.
Keuntungan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, ketika ia melalui proses peralihan, yang juga seiring dengan ketidaktentuan pasaran.
Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion untuk 2018.
Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas telah memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah yang melibatkan perubahan kepimpinan dalam Lembaga Pengarah dan Pengurusan, serta pengenalan mandat dan objektif yang baharu. - Bernama