IPOH - Kerajaan Perak menggesa pengguna negeri ini memboikot mana-mana premis niaga berdegil untuk tidak mematuhi arahan perlaksanaan larangan merokok di premis mereka dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan bermula hari ini.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, tindakan memboikot premis niaga berkenaan adalah penting bagi memastikan arahan dikuatkuasakan kerajaan dihormati dan memberi impak positif kepada pengguna tidak merokok.
Menurutnya, golongan pengguna perlu memainkan peranan dan bertindak sebagai mata dan telinga pihak penguat kuasa dalam memastikan kesemua pengusaha premis niaga mematuhi arahan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2019.
"Saya juga sudah meminta kesemua pengusaha premis niaga terutama kedai makan untuk tidak menyediakan tempat habuk rokok di premis masing-masing kerana inisiatif itu pastinya menggalakkan perokok untuk merokok di tempat awam.
"Selain itu, orang ramai juga mempunyai tanggungjawab memastikan kesemua premis niaga di tempat awam tidak menyediakan sebarang peralatan mengundang kepada aktiviti merokok.
"Sekiranya ada premis niaga berdegil, pengguna diminta boikot terus premis sedemikian," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mengenai perkembangan perlaksanaan arahan larangan merokok di tempat awam di Perak bermula hari ini, Sivanesan menegaskan sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan negatif daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan perlaksanaannya, kerajaan lebih memfokuskan usaha menasihati dan memberi kesedaran kepada perokok dan pengusaha premis niaga agar tidak menyediakan kemudahan merokok di tempat awam.
"Dalam tempoh ini, kita juga akan memberi peluang dan masa kepada golongan perokok untuk mengubah tabiat mereka agar menghormati arahan diberikan atau terus berhenti merokok demi kebaikan kesihatan masing-masing.
"Bagi saya, sebarang aduan ketidakpuasan hati ditimbulkan golongan perokok ini adalah lebih merujuk masalah sikap kerana sekiranya mereka benar-benar menghormati hak bukan perokok termasuk golongan kanak-kanak dan bayi, mereka akan menerimanya dengan hati terbuka.
"Saya ambil contoh, golongan perokok boleh untuk tidak merokok sepanjang tempoh berpuasa pada bulan Ramadan, jadi saya lihat perkara ini lebih kepada aspek mendisiplinkan diri. Adakah golongan ini sanggup untuk merokok di hadapan anak-anak mereka yang masih kecil?" katanya.
Sivanesan turut mendedahkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak sudah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menjalankan rondaan dan membuat hebahan awam di setiap daerah di Perak.
"Saya akan mengadakn mesyuarat dengan pihak mereka pada minggu hadapan bagi mendapatkan maklum balas awal terhadap arahan terbaharu dilaksanakan kerajaan.
"Sekiranya maklum balas diberikan menunjukkan tahap kesedaran perokok atau pengusaha premis niaga masih rendah, kita akan meneruskan kempen kesedaran menghormati arahan larangan merokok di tempat awam secara lebih meluas,"katanya.