SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, laporan media mengenai 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap kaki persegi seperti yang ditawarkan kerajaan, adalah tidak tepat.
Sebaliknya Khalid berkata, apa yang dimaksudkan dengan 90 peratus itu, adalah pemilik yang bersetuju menjual dan bersetuju dengan Projek Pembangunan Kampung Baru itu, tetapi mahukan harga yang lebih tinggi.
"Mereka (pemilik tanah) bersetuju untuk menjual, tetapi mereka mahukan nilai yang lebih tinggi dari yang ditawarkan kerajaan," katanya ketika menjadi panel dalam program Wacana Sinar Harian di sini hari ini.
Turut menjadi panel dalam program berkenaan Pengarah Kanan Bahagian Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak dan Pakar Perunding Hartanah Ishak Ismail.
Pada Rabu lalu media melaporkan Khalid sebagai berkata, daripada 700 hingga 800 borang yang diterima Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) daripada penduduk berhubung pembangunan semula kawasan itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.
Khalid berkata, kerajaan tidak boleh menawarkan harga yang terlalu tinggi kepada pemilik tanah Kampung Baru kerana ia akan memberi implikasi terhadap pembangunan yang akan dijalankan.
"Jika kita beli tanah (Kampung Baru) mahal, nanti rumah yang akan dibangunkan kelak juga terpaksa dijual dengan harga yang tinggi dan ini akan menyebabkan hasrat untuk mengekalkan Kampung Baru kekal milik orang Melayu, akan menjadi sukar,” katanya.
Sementara itu Abdul Razak berkata, syarat ke atas tanah Kampung Baru adalah tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) dan syarat ke atasnya adalah lebih ketat jika dibanding dengan Tanah Rizab Melayu.
"MAS ini syarat ke atasnya lebih ketat, antaranya pemilik dan penduduk di tanah ini mestilah orang Melayu berbanding Tanah Rizab Melayu di mana pemiliknya mesti orang Melayu tetapi tiada sekatan atas penduduk," katanya.
Tambahnya, tawaran RM850 bagi setiap kaki persegi yang ditawarkan kepada pemilik tanah Kampung Baru adalah berpatutan dan harus dipersetujui semua. - Bernama