Kongres Maruah Melayu tiada kaitan politik

Iklan
Zainal (kanan) ketika sesi temubual secara langsung berkaitan Kongres Maruah Melayu pada program Sinar Live 'Ini Soal Melayu, Bukan Pentas Politik' di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

SHAH ALAM - Kongres Maruah Melayu yang bakal berlangsung Ahad ini bukan berpaksikan politik, sebaliknya merupakan satu platform untuk menghimpunkan pelbagai input dari tokoh-tokoh akademik dalam pelbagai bidang bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan golongan Melayu.

Ketua Eksekutif Sekretariatnya, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, selepas ia dihebahkan, ramai yang memberi tanggapan salah dan mengaitkan kongres tersebut dengan politik kerana melihat sebahagian jemputan terdiri daripada pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jemputan ke kongres berkenaan adalah terbuka kepada semua orang Melayu dan Dr Mahathir pula dijemput atas kapasiti beliau sebagai pemimpin negara ketika ini.

Beliau berkata, apabila menyentuh tentang isu orang Melayu di Malaysia ia merupakan isu nasional, jadi kerana itu pihaknya menggunakan saluran politik untuk mendapatkan pucuk pimpinan negara dan memberitahu masalah yang sedang dihadapi bukan saja berkait orang Melayu bahkan seluruh negara meliputi raja sehingga rakyat.

Iklan

Katanya, sebagai orang politik mereka wajib tahu dan sedar berhubung perkara itu dan jika tidak diselesaikan pergolakan yang berlaku di bawah ini ia akan menjadi satu ledakan yang bahaya dalam masyarakat.

"Dengan kehadiran beliau sebagai pemimpin negara yang mempunyai kuasa besar untuk menggembeling tenaga semua sumber, akan dapat menyelesaikan sebahagian permasalahan besar berkaitan isu," katanya pada Sinar Live 'Ini Soal Melayu, Bukan Pentas Politik' bersempena Kongres Maruah Melayu di Kumpulan Media Karangkraf semalam.

Iklan

Zainal berkata, oleh itu jelas kongres itu tiada kaitan permainan politik tetapi merupakan saluran wajar untuk pihaknya mendatangkan pemimpin negara untuk menyelesaikan masalah besar yang melibatkan seluruh negara.

"Jadi lebih tepat, kita menggembleng politik tapi kita bukan orang politik... Harus difahami penyelesaian masalah sentiasa oleh orang politik.

"Sebagai contoh, walaupun dalam ekonomi, jika tiada dasar ekonomi oleh orang politik, masalah ekonomi tidak akan selesai apatah lagi jika melibatkan masalah sosial, agama serta budaya. Ia tidak akan selesai jika tiada dasar diambil oleh pemimpin negara sebagai orang politik yang mengurus negara," katanya.

Kongres Maruah Melayu merupakan anjuran gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan diadakan di Stadium Malawati, di sini.

Dalam pada itu, Zainal berkata, beliau berharap ramai yang akan hadir ke stadium dengan memakai baju tema merah atau putih untuk mendengar dapatan-dapatan yang diperoleh hasil perbincangan tokoh-tokoh yang arif dalam bidang masing-masing dari empat universiti berkenaan.

"Kita harap mereka dapat penuhkan stadium yang boleh mengisi kira-kira 15,000 audien tapi kalau dapat sampai sehingga 20,000 atau lebih, ia sangat baik.

"Cukup banyak isu yang akan disentuh dan berharap ia dapat menggembleng tenaga bukan saja tenaga kuasa politik yang hadir tetapi kuasa pemikir, penggiat, lebih-lebih lagi untuk mengingatkan generasi muda terdiri dari kalangan mahasiswa bahawa ini adalah masalah yang sedang berlaku dan akan melibatkan kehidupan pada masa depan," katanya.

Katanya, dapatan serta resolusi yang dibentangkan nanti juga dilihat sebagai pendidikan atau pengalaman kepada golongan muda untuk masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang persoal penganjuran Kongres Maruah Melayu