SHAH ALAM - Keterbukaan masyarakat bercakap menerusi medium media sosial, media cetak dan elektronik dengan meremehkan orang Melayu, agama Islam termasuk institusi Diraja dilihat sebagai satu perkara yang amat serius.
Tindakan itu juga mampu membawa implikasi besar kepada negara.
Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Datuk Prof Emeritus Dr Zainal Kling berkata, kini sesiapa sahaja boleh melihat atau membaca di semua platform melalui pelbagai isu yang memburuk-burukkan raja, mempermainkan Islam, menuduh kaum Melayu rasis dan sebagainya.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat sudah tentu mencalarkan hati serta mencabar maruah Melayu.
"Bercakap secara ilmiah itu tiada masalah tetapi apabila bercakap dengan bahasa yang buruk, yang jahat itu masalah.
"Sebab itu kita ada Akta Hasutan supaya dapat memelihara institusi negara, hubungan antara kelompok individu dan keharmonian.
Katanya, lebih buruk apabila pada masa kini terdapat keinginan untuk menghapuskan undang-undang yang meletakkan banyak kongkongan ini, sekali gus menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk bercakap secara terbuka.
"Perkembangan dalam masyarakat menunjukkan wujud satu aliran yang kita anggap salah arah dan barangkali orang mengeksploitasi kebebasan bercakap dan lupa tanggungjawab besar yang terpikul di bahu untuk memelihara perhubungan, percakapan supaya tidak terlampau mendesak, mengusik dan mencabar sesuatu kelompok atau individu.
"Disebabkan itu, kita sudah sampai kepada tahap yang serius serta elok untuk difikirkan. Kongres yang akan diadakan dilihat dapat menjadi tempat untuk semua pihak berkumpul secara ilmiah dan rasional bagi mencari penyelesaian kepada perkara ini," katanya.
Mengulas mengenai sikap orang Melayu yang dikatakan pemaaf sehingga mudah diambil kesempatan, Zainal berkata, orang Melayu ditunjangi budi bahasa Melayu yang sangat tinggi dan budi bahasa ini mendidik mereka pada satu pihak menjadi orang yang beremosi dan satu pihak lain golongan yang bersabar.
"Sebab itu keadaan di negara masih terkawal dan kita perlu berterima kasih kepada nilai-nilai Melayu yang boleh menerima hal ini secara terbuka dan bersabar begitu lama.
"Bangsa Melayu bukan bangsa lemah dan menerusi kongres nanti ia akan menjadi peringatan kepada semua pihak tentang perkara ini," katanya.