KUALA LUMPUR - Biarpun tidak berakhir di podium namun kejayaan Lee Hup Wei ke pusingan akhir acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Dunia 2019 sudah cukup membanggakan.
Mana tidaknya, atlet kelahiran Selangor itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara ke pentas final di kejohanan berprestij itu selepas melakukan lompatan setinggi 2.29 meter (m) dalam aksi kelayakan pada Selasa.
Iklan
Iklan
Pada saingan akhir di Stadium Antarabangsa Khalifah, Doha, awal pagi ini, Hup Wei, 32, bagaimanapun gagal menyempurnakan lompatan 2.30m untuk menyamai rekod kebangsaan milik Nauraj Singh Randhawa apabila mencatatkan lompatan setinggi 2.27m.
Beliau berakhir di kedudukan kelapan daripada 12 atlet keseluruhan dengan pingat emas acara itu menjadi milik jaguh Asia, Mutaz Essa Barshim (Qatar) dengan lompatan setinggi 2.37m manakala pingat perak dan gangsa pula masing-masing diraih oleh dua atlet ‘Authorised Neutral Athlete’ (Rusia) Mikhail Akimenko serta Ilya Ivanyuk dengan berkongsi rekod 2.35m.
Hup Wei yang bertanding atas tiket wild card melepasi dua had ketinggian dengan satu percubaan bermula 2.19m dan 2.24m seterusnya mencatatkan keputusan 2.27m dengan dua percubaan namun cubaannya bagi ketinggian 2.30m tidak berhasil.
Catatan 2.27m juga sekali gus meleburkan peluangnya untuk melakukan lompatan seterusnya setinggi 2.33m bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.
Sebelum ini, juara Kejohanan Asia 2007 yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu layak ke Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 dan London pada 2012. - Bernama