Serbuan bukan bersifat perkauman: Boon Chye

Iklan
Dr Lee Boon Chye - Foto MSN.com

IPOH - Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menegaskan serbuan ke atas sebuah premis iaitu DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada Rabu lepas bukan bersifat perkauman, sebaliknya ia melibatkan kesihatan demi kepentingan orang ramai.

Beliau berkata tidak semua isu boleh dikaitkan dengan perkauman kerana kesihatan tidak mengenal bangsa atau mana-mana individu.

Iklan
Iklan

"Ini melibatkan kesihatan orang ramai bukan kesihatan perkauman untuk menjaga kepentingan orang ramai dan tidak ada kaitan dengan perkauman, jangan ingat semua perkara adalah isu perkauman kerana semua orang jatuh sakit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah di sini hari ini.

Dr Lee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serbuan itu yang mendapat perhatian masyarakat selain kritikan netizen kerana dikatakan tidak dilakukan dengan penuh beradab selain dilihat tidak adil.

Iklan

Pada 3 Oktober lepas, Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan di premis itu dijalankan susulan aduan awam yang diterima bahawa terdapat produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disimpan di dalam premis terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Lee turut mempertahankan anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan terhadap premis itu telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM dan menolak bahawa terdapat elemen kekerasan digunakan.

Iklan

"Apabila penguatkuasaan dilakukan, mereka ada SOP yang perlu diikuti. Klinik ini ada dua masalah, yang pertama ia tidak berdaftar dan yang kedua, ada laporan mengatakan ada barangan dijual tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Dr Lee berkata, premis berkenaan tidak boleh beroperasi sebagai klinik kerana ia tidak mempunyai lesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan tindakan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik fasiliti berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang mahu mengadakan sekatan jualan serta promosi rokok elektronik dan vape dalam talian dengan kerjasama KKM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), beliau berkata, kementeriannya menyambut baik saranan itu.

"Kami ambil berat tentang iklan dalam talian mengenai penjualan rokok elektronik dan vape, justeru kami mengalu-alukan usaha SKMM untuk membuat sekatan terhadap penjualan produk berkenaan dalam talian dan mengambil tindakan terhadap mereka yang jual cecair vape yang mengandungi nikotin kerana ia dilarang di bawah Akta Racun 1952," katanya.

Menurutnya, segala usaha dan kerjasama semua pihak akan diteruskan supaya penjualan vape dan rokok elektronik tidak berleluasa khususnya kalangan kanak-kanak yang menjadi sasaran penjual. - BERNAMA