Nombor satu paling bermakna

Iklan
Akma Farhana (empat dari kanan) dan Sarawathy (empat dari kiri) gembira kerana mendapat bayi tahun baharu.

SEREMBAN - Satu menjadi angka bermakna buat dua ibu yang bukan sahaja selamat melahirkan anak sulung mereka pada tarikh 1 hari bulan, tetapi juga 'menghadiahkan' cucu pertama buat keluarga mereka.

Akma Farhana Ishak, 25, dan N Saraswathy, 25, merupakan dua daripada tujuh ibu yang melahirkan anak pada tahun baharu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Iklan
Iklan

Bayi pertama seberat 2.29 kilogram dilahirkan Akma Farhana secara normal pada jam 12.56 tengah malam.

Pegawai pemasaran itu berkata, dia dijangka bersalin pada 29 Januari ini, tetapi terpaksa dikejarkan ke hospital jam 8 malam tadi selepas air ketubannya pecah.

Iklan

"Bila sampai hospital doktor beritahu dah ada bukaan tiga sentimeter dan maklumkan saya akan bersalin lebih awal.

"Walaupun saya memang dijangka bersalin Januari, tapi tak pernah berharap pun untuk tarikh 1 hari bulan kerana paling penting saya nak anak saya selamat," katanya.

Iklan

Menurutnya, kelahiran anaknya itu dianggap paling istimewa buat keluarga kerana itu merupakan cucu sulung.

Perkara sama dikongsi N Saraswathy yang bersalin lewat dua hari dari tarikh jangkaan 30 Disember.

"Bila tarikh jangkaan itu tak rasa lagi nak bersalin, saya tak terfikir pun akan bersalin tahun baharu.

"Tapi jam 4.45 petang semalam (kelmarin), suami hantar ke hospital kerana saya dah keluar darah dan jam 4.41 pagi anak sulung perempuan saya seberat tiga kilogram selamat dilahirkan," katanya.

Dia yang bekerja di sebuah kilang berkata, kelahiran anaknya pada tahun baharu menjadi hari bersejarah buat keluarga dan akan diingati sampai bila-bila.