Sekolah di PD dipilih sekolah angkat syarikat Jepun

Iklan
Anwar diringi murid Sekolah Kebangsaan Intan Perdana sebaik tiba untuk lawatan rasmi ke sekolah berkenaan.

PORT DICKSON - Sebuah sekolah menengah di Port Dickson akan dipilih sebagai sekolah angkat pertama oleh sebuah syarikat elektronik dan teknologi terbesar dari Jepun.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekolah berkenaan berpeluang mendapat manfaat kemudahan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan terutama dalam bidang teknologi.

Iklan
Iklan

"Penerapan pembelajaran berasaskan teknologi adalah penting untuk membantu membangunkan pendidikan bertaraf dunia di negara ini sekaligus dapat membina masa depan negara.

"Apabila saya bertemu dengan pihak syarikat itu dan membincangkan mengenainya mereka telah menunjukkan minat untuk memilih salah satu sekolah di sini, untuk berkongsi kemudahan yang ada demi pendidikan pelajar. Ia masih lagi dibincangkan,” katanya ketika berucap pada Lawatan Rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana di sini hari ini.

Iklan

Selain itu menurutnya, dalam keghairahan mengejar pembangunan fizikal di daerah itu, pihaknya tidak mahu kepentingan rakyat terutama menyediakan kemudahan mampu milik diketepikan.

Anwar sebaik tiba di Sekolah Kebangsaan Intan Perdana.

"Tidak salah untuk membina hotel bertaraf lima atau enam bintang, tapi saya katakan kepada mereka (pemaju), binalah juga taman tema dibuka kepada orang awam.

Iklan

"Kalau mereka tidak dapat menginap di hotel yang mungkin harganya terlalu mahal, sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati kemudahan taman rekreasi dengan harga yang murah,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pelaksanaan projek pembangunan juga harus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Pembinaan sebuah hotel di sini akan membuka lebih kurang 600 pekerjaan baru kepada golongan muda. Saya juga turut mencadangkan agar latihan dan kemudahan tempat tinggal turut diberi bagi membantu penduduk di sini terutamanya golongan muda,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM720,000 kepada SK Intan Perdana yang diluluskan oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi pembinaan bumbung dataran murid di sekolah itu.