NILAI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan golongan wanita terutama suri rumah menjadi antara kelompok yang turut menjadi sasaran penipuan sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, melalui kes-kes penipuan yang berlaku, jumlah kerugian membabitkan golongan tersebut dilaporkan mencecah angka ratusan ribu ringgit.
Iklan
Iklan
Menurutnya, modus operandi dijalankan melalui pelbagai medium termasuk Facebook, panggilan telefon dan terkini dengan menghantar salinan laporan polis palsu kepada mangsa, selain menakut-nakutkan mangsa dengan 'waran tangkap'.
"Ahli sindiket ini menggunakan pelbagai taktik untuk mempengaruhi mangsa sehingga menyebabkan mereka terpedaya dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)," katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Amanita Kontinjen Negeri Sembilan di Nilai hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Che Zakaria Othman.
Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan golongan wanita khususnya suri rumah boleh memainkan peranan dalam mencegah dan membanteras jenayah khususnya menerusi Amanita atau Skuad Aman Wanita, iaitu inisiatif menjadikan suri rumah sebagai rakan polis.
"Sehubungan itu, pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' sudah tidak relevan pada masa kini memandangkan masyarakat perlu saling ambil tahu keadaan sekeliling dalam memastikan keamanan dan keselamatan kekal terpelihara," katanya.