Bomba perkemas SOP operasi

Iklan
WhatsApp Image 2019-10-05 at 6.51.28 PM

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkemaskan aspek prosedur operasi standard (SOP) operasinya susulan kes yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia hasil dapatan jawatankuasa khas dalam jabatan berkecuali yang ditubuhkan bagi menyiasat dan melihat aspek penambahbaikan perlu dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jawatankuasa itu membentangkan hasil siasatan dan beberapa faktor yang dilihat perlu dilakukan termasuk menambah baik SOP selain berkolaborasi dengan agensi lain.

"Kita berpegang kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kes membabitkan ketenteraman dan gangguan awam sebagai agensi utama yang bertanggungjawab, manakala agensi membuat kerja-kerja bantuan dan sokongan, sudah ada rangka kerjanya.

Iklan

"Kita percaya penambahbaikan melihat pelbagai aspek, termasuk perlindungan diri, peralatan, latihan, kesiapsiagaan dan operasi di tempat insiden,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini hari ini.

Iklan
Hamdan bersama pasukan Perak yang muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 2019.

Katanya, penambahbaikan SOP itu akan dibawa kepada jawatankuasa perancangan dasar sebelum dimuktamadkan seterusnya uar-uarkan kepada negeri untuk diikuti.

"Pada masa sama JBPM juga meningkatkan latihan kepada anggotanya bagi berdepan dengan pelbagai situasi. Sepanjang tahun kita laksanakan antara 890 hingga 900 latihan dan sebahagiannya melibatkan ancaman kepada ketenteraman awam.

"Kita ada komandan (akademi bomba) dan pengarah bahagian latihan untuk laksanakannya. Senario yang dibuat juga mengikut keadaan tertentu kerana sentiasa berubah-ubah.

"Hari ini mungkin pemadaman, mungkin esok kebakaran bentuk sama tetapi cara berbeza, jadi sebab itu senario ‘role play’ salah satu latihan dalam kumpulan untuk adaptasi di tempat sebenar,” katanya.

Hamdan (kiri) pada sidang media penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji memberi penghargaan kepada tiga individu iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai yang banyak membantu jabatan berkenaan.

Dua lagi ialah bekas anggota komando dari Rejimen Gerak Khas (RGK), Mohd Hafizan Nordin dan seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), R Narresh yang bertanggungjawab mengeluarkan serta mengejarkan Adib ke hospital dari lokasi itu pada hari kejadian.