KOTA BHARU - Seluruh masyarakat terutamanya rakyat negeri ini tidak sepatutnya mempersoalkan kod etika berpakaian semasa berkabung sebagaimana yang telah ditetapkan.
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya merasa kesal apabila membaca sebahagian ulasan di laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang mempertikaikan arahan untuk berkabung bagi majlis-majlis rasmi dan pejabat kerajaan.
"Banyak ulasan berdasarkan logik akal semata-mata mahupun ada yang menggunakan hukum-hukum agama bagi menyatakan tentangan terhadap arahan pakaian semasa tempoh tersebut.
"Saya ingin menjelaskan bahawa kod etika dan tatacara menghormati kemangkatan Sultan adalah termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan.
"Tidak sepatutnya sesuatu yang telah menjadi undang-undang dipertikaikan oleh rakyat semata-mata dengan tentangan sembrono tanpa pengetahuan yang jelas tentang undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, adalah tidak wajar membandingkan arahan kod etika pakaian yang diperuntukkan undang-undang ini dengan hukum Islam berkenaan tempoh masa berkabung.
Beliau berkata, apa yang terkandung dalam agama Islam adalah tempoh berkabung yang sebenar menurut agama, berbeza dengan peraturan berpakaian oleh pemerintah.
"Sama juga dengan arahan memakai tali leher ke pejabat, memakai kot hitam ke mahkamah dan memakai pakaian seragam bagi pasukan keselamatan, mengapa tidak semuanya dipertikai?.
"Saya terpanggil untuk menasihati sama ada rakyat Kelantan mahupun orang lain yang masuk ke negeri ini untuk menghormati kod etika berpakaian semasa tempoh 40 hari ini serta mengelakkan diri daripada memberi ulasan mahupun memanjangkan apa-apa mesej negatif berkenaan hal ini.
"Perlu diingatkan bahawa sultan dan raja adalah ketua negeri dan pemerintah tertinggi bukan sahaja menjadi raja kepada orang Melayu tetapi raja kepada semua rakyat. Maka, hormatilah sistem pemerintahan negara ini yang diasaskan bersistem Raja Berperlembagaan sebagaimana kita menghormati keseluruhan sistem yang membentuk negara ini.
"Pada masa yang sama GPMS berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komuniti dan Multimedia Malaysia memantau semua ulasan-ulasan dan perkongsian di laman sosial yang bersifat menentang penghormatan kepada institusi raja serta mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu yang biadab terhadap undang-undang negara ini.
"Seluruh Jawatankuasa GPMS Malaysia, Negeri-negeri dan Cawangan merafakkan sembah takziah dan mendoakan semoga Almarhum Sultan Ismail Petra diberi keampunan dan kerahmatan oleh ALLAH SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.