SUNGAI PETANI - Tindakan dua lelaki yang menyewa sebuah bilik hotel bajet di sini menyebabkan salah seorang daripadanya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Berusia lingkungan 30-an, kedua-duanya mengaku sebagai sepupu, namun apabila ditanya tujuan menginap di hotel berkenaan, mereka hanya terdiam.
Dalam serbuan Ops Ambang Tahun Baharu 2019 yang dilakukan, polis menemui sebotol ubat batuk dan satu jag air kosong dalam bilik berkenaan.
Lelaki berkenaan mengatakan ubat batuk itu diambil kerana tidak sihat pada ketika itu.
Namun, polis tetap menahannya bagi menjalani saringan air kencing.
Dalam operasi sama yang diadakan di Jalan Badlishah, seorang lelaki berusia 50-an ditahan kerana membawa beberapa kepingan zink dan grill ketika menunggang motosikal pada jam 2 pagi.
Ketika di soal, lelaki berkenaan gagal memberikan keterangan mengenai barang-barang yang dibawa.
Hasil pemeriksaan ke atas motorsikal terbabit, polis menemui sebuah gergaji dan beberapa peralatan lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan terhadap barangan yang dimiliki.
Lelaki berkenaan antara 956 individu yang diperiksa sempena Ops Ambang Tahun Baharu 2019 yang dijalankan sekitar daerah semalam.