SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan unit rondaan berbasikal sebagai kaedah alternatif melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan perbandaran itu.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, penubuhan unit dianggotai anggota penguat kuasa MPSJ itu merupakan inisiatif MPSJ untuk menjadi bandar rendah karbon selari dengan hasrat ke arah Bandar Hijau menjelang 2030.
Menurutnya, MPSJ memperuntukkan sebanyak RM35,820 bagi membiayai kos keseluruhan pembelian basikal khas dengan harga seunit RM2,985.
"Unit berbasikal MPSJ ini ditubuhkan pada 1 Ogos lalu bertujuan melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di bawah peraturan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007.
"Ia bagi mewujudkan perkhidmatan perbandaran lebih hijau serta mesra rakyat melalui konsep Cycle, Stop&Talk,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan unit itu sekali gus meningkatkan produktiviti anggota penguat kuasa MPSJ melalui amalan gaya hidup sihat dan seimbang yang merangkumi aspek jasmani, rohani dan emosi.
Menurutnya, seramai 12 anggota penguat kuasa MPSJ terpilih melaksanakan projek perintis itu di tiga lokasi iaitu di Ibu Pejabat MPSJ (dua anggota); USJ 10, Subang Jaya (lima anggota) serta Bandar Puteri, Puchong (lima anggota).
"Melalui penubuhan ini, pihak majlis harap dapat memudahkan orang awam untuk berurusan dengan MPSJ sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung perkhidmatan MPSJ memandangkan anggota penguat kuasa sentiasa berada di lapangan.
"Selain itu juga, ianya diharap dapat meningkatkan kesedaran orang awam untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan melalui pemantauan berterusan anggota penguat kuasa di lapangan,” katanya.