KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berhasrat untuk mengurangkan import sayuran dan buah-buahan yang kini mencecahkan RM9 bilion setahun dengan meningkatkan hasil pengeluaran.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata, pihaknya akan melaksanakan projek tanaman ladang kontrak bagi meningkatkan hasil pertanian di negara ini
Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pengaliran wang negara ke luar yang meningkat setiap tahun ekoran peningkatan nilai pengimportan tanaman.
"Jumlah import hasil pertanian negara tahun ini berjumlah RM50 bilion dan jumlah itu meningkat setiap tahun. Daripada jumlah itu, RM9 bilion adalah import sayur-sayuran dan buah-buahan dan daripada itu RM3 bilion kita eksport kembali.
"Di sini kita nampak jurang apabila RM6 bilion antara import dan eksport. Jadi sebab itu kita perlu mempertingkatkan hasil keluaran sayuran dan buah-buahan dalam usaha mengurangkan jumlah import yang meningkat pada setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Promosi Produk Segar Pertanian Di Bawah Program Ladang Kontrak di ruang legar pusat beli-belah Berjaya Megamall hari ini.
Jelajah empat hari yang berakhir esok itu membabitkan 25 peniaga yang menjual produk pertanian, hiliran dan makanan popular.
Menurutnya, petani terutamanya peserta yang terbabit dalam Program Ladang Kontrak meningkatkan hasil pengeluaran sayuran dan buah-buahan.
"Kobis dan kelapa adalah import yang paling banyak pada ketika ini, namun bawang, kentang dan lobak terpaksa diimport kerana ia tidak boleh ditanam di dalam negara.
"Tapi kita sebenarnya boleh mengurangkan import kerana cili dan labu turut dieksport ke luar negara, sekali gus mengurang jumlah import," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Anis berkata, sebanyak RM4 juta pungutan yang diperoleh hasil Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2019 setakat 31 Ogos lalu daripada 422 program membabitkan 756 peserta.
"Peserta juga menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dengan barangan murah dan segar," katanya.