KUANTAN - Hajat Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, yang menghidap kanser pangkal otak untuk menjadi anggota bomba akhirnya tercapai.
Bapanya, Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata, impian anak sulung daripada tiga beradik tercapai apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memenuhi hasratnya itu.
Menurutnya, keinginan anaknya untuk menjadi anggota bomba disuarakan kepadanya sebelum ini apabila teruja melihat anggota bomba bertugas.
"Dia (Ahmad Danial) anggap mereka yang bertugas sebagai anggota bomba ini sebagai wira penyelamat yang sangat hebat.
"Jadi saya dan isteri dengan bantuan Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona) menyuarakan hasrat untuk memenuhi impiannya dan bersyukur apabila mendapat kerjasama dan bantuan bomba,” katanya ketika ditemui di Masjid Beserah hari ini.
Ahmad Suhairi berkata, penyakit Ahmad Danial dikesan pada Mac lalu apabila kedua matanya kelihatan seperti juling.
Dia berkata, dia kemudian membawa Ahmad Danial ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan bagi pemeriksaan mata kerana menyangka anaknya mengalami simptom ‘lazy eyes’.
Bagaimanapun katanya, doktor mengesahkan anaknya menghidap kanser otak sebelum disahkan sebagai kanser jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) pada tahap empat selepas menjalani pemeriksaan.
"Tahap kesihatan Ahmad Danial merosot dan hanya beberapa bulan dia sudah terlantar dan tidak mampu lagi memberi respons.
"Saya juga difahamkan kanser otak DIPG jarang ditemui dan dikatakan tidak memberi peluang sembuh. Jadi sebab itu anak saya tidak dapat menjalani sebarang rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi," katanya.
Sementara itu, Pengarah JBPM negeri, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya sedaya upaya menunaikan impian Ahmad Danial dengan memberi satu penghormatan kepadanya.
"Kita mahu bersama-sama berkongsi rasa (perasaan) dengan ibu bapa Ahmad Danial dan kita tahu ia bukan sesuatu yang mudah untuk mereka lalui.
"Sebab itu kami berikan penghormatan kepada Ahmad Danial sama ada dia sedar atau tidak kerana kita masih ada masa untuk menggembirakannya,” katanya.
Dalam program tersebut, Nor Hisham memakaikan Ahmad Danial dengan seragam lengkap bomba dan lencana bomba serta tanda nama sebagai simbolik mengiktirafnya sebagai seorang wira.
Ahmad Danial juga dibawa menaiki jentera bomba mengelilingi kawasan sekitar.