SHAH ALAM - Suami perlu mengawal emosi ketika berdepan dengan situasi isteri curang bagi mengelak diri daripada melakukan tindakan luar batasan yang boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah.
Penceramah, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, terdapat jalan penyelesaian dalam Islam berkaitan isu isteri curang mengikut langkah demi langkah yang tertentu.
Menurutnya, suami ditegah daripada bertindak sesuka kerana perbuatan jenayah akan menyusahkan diri di masa hadapan.
"Ada 'step by step'. Nasihat-menasihati dulu dan bila sampai memisahkan tempat tidur serta sebagainya, barulah akhir sekali jalan penyelesaian terbaik melalui mahkamah dan jabatan agama.
"Kalau isteri terang-terang curang, suami boleh menceraikan isteri. Jika mahu berbaik, buat cara baik. Kita ada keluarga kedua belah pihak bawa berbincang.
"Boleh bagi masa isteri bertaubat tapi jika tak nampak jalan lain, gunakan saluran mahkamah. Kalau berlaku kes pukul-memukul akan jadi kes jenayah, akhirnya menyusahkan masa depan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kejadian jenayah membabitkan kes isteri curang berkemungkinan berlaku akibat perasaan terlalu cemburu sehingga gagal mengawal diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor dibelasah gara-gara curang dengan isteri orang