WKB2030: Bukti kerajaan mahu ramai anak muda berkemahiran

Iklan
Salmee

ALOR SETAR - Teras strategik ketiga yang menumpukan modal insan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam membuktikan kesungguhan kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja muda berkemahiran pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, langkah kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menggalakkan golongan muda meminati bidang kemahiran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat mampu menjamin peluang pekerjaan lebih meluas kepada mereka selepas tamat pengajian masing-masing.

"Apabila pelajar lepasan SPM menyertai bidang TVET mereka dapat memenuhi keperluan industri yang sememangnya memerlukan pekerja ada kemahiran.

Iklan

"Tetapi kalau mereka tidak dapat peluang kerja dalam industri sekalipun mereka boleh wujudkan kerja sendiri dengan kemahiran yang mereka ada dan ini boleh mengurangkan kadar pengangguran," katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara inti pati dalam teras strategik ketiga itu ialah penawaran program di universiti dan institut latihan akan diselaras dengan kehendak dan keperluan industri.

Iklan

Dr Salmee berkata, tumpuan kerajaan itu juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu Dr Salmee mengharapkan kerajaan dapat menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran di universiti mahupun institut latihan bersesuaian dengan keperluan IR 4.0 supaya pelajar tidak ketinggalan dalam era revolusi industri berkenaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: WKB2030 hadiah untuk anak cucu kita: Dr Mahathir