KUALA LUMPUR - Pembentangan Belanjawan 2020 Rang Undang-undang (RUU) meminda hukuman mati dan Kertas Putih Pertahanan bakal mencuri perhatian pada persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirainya semula pada esok selepas berehat lebih dua bulan.
Mesyuarat ketiga penggal kedua Sidang Parlimen Ke-14 itu akan berlangsung selama 36 hari mulai Isnin ini hingga 5 Disember yang bakal menyentuh beberapa akta baharu dan pindaan akta sedia ada dalam menambah baik sistem perundangan dan pentadbiran negara.
Tumpuan pastinya terarah kepada pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini dengan persoalan pokok pastinya jumlah peruntukan disediakan dan agihan kepada sektor terbabit.
Untuk rekod peruntukan sebanyak RM314.5 bilion disalurkan untuk belanjawan lepas (Belanjawan 2019) bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.
Selain itu turut dijangka menjadi perhatian adalah pindaan hukuman mati mandatori selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal bagi menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.
Ketika ini undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Selain RUU itu turut dijangka dibentangkan adalah RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 untuk bacaan kali kedua dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai berkata ia dijangka dibentang sebelum pembentangan Belanjawan 2020.
Rang Undang-Undang IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
Vui Keong juga sebelum ini berkata, kerajaan akan memulakan percubaan kedua untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar pada persidangan Dewan Rakyat ini.
Pada September tahun lepas, Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 telah ditolak oleh Dewan Negara sekalipun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan kerana itu Liew berkata kerajaan akan membentangkannya semula.
Selain itu RUU derma politik dan penubuhan ombudsmen juga dijangka dibentangkan kali ini, kata Ketua Pengarah Urus Tadbir, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua RUU ini merupakan satu daripada inisiatif utama di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP) 2019-2023 yang memberi tumpuan utama untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Turut dijangka mencuri perhatian penggubal undang-undang negara adalah pembentangan Kertas Putih Pertahanan Negara yang akan memahat sejarah negara dan menyertai negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata draf kertas putih itu mengambil pandangan semua pihak antaranya ahli akademik dan ia antara lain merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.
Selain itu kerajaan juga dijangka membentangkan RUU untuk mengawal aktiviti Food Bank yang bertujuan melindungi penyumbang daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini melalui makanan yang disumbangkan.
Persidangan kali ini turut memberi fokus kepada pembentangan RUU bagi menambah baik pengurusan wakaf agar dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh.
Bagi mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja, mengurangkan waktu bekerja dan menangani isu pekerja dipaksa bekerja Akta Kerja 1955 dijangka dibentang untuk pindaan pada sesi ini setelah selesai melalui pelbagai fasa perbincangan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Akta itu kali terakhir dipinda pada 2013.
Dewan Rakyat juga dijangka memberi penghormatan kepada penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang meninggal dunia pada 21 September lepas berikutan komplikasi jantung. - Bernama