KUALA TERENGGANU - Dua wanita masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melacurkan diri pada 30 September lalu.
Kedua-dua tertuduh berusia 25 dan 29 itu turut berdepan lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas kedua-dua mereka mengaku salah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan persundalan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Batu Burok di sini antara jam 9 malam dan 10.30 malam pada 30 September lalu.
Dengan itu mereka didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistret Hayyi Salim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua wanita tempatan ditahan kerana dikesan menjalankan aktiviti pelacuran di dalam bilik berasingan di sebuah hotel di Batu Buruk di sini.
Mereka ditangkap dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini.
Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu mencari pelanggan dengan menawarkan khidmat seks melalui aplikasi MiChat.
Dalam serbuan di hotel tersebut turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,200 dipercayai wang hasil bayaran khidmat seks ditawarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua wanita tawar seks di MiChat ditahan