KLUANG - Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menggesa agar kertas siasatan di bawah Akta Hasutan mahupun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dibuka ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.
Bendahari Kehormatnya, T Thuraisamy berkata, ini berikutan penularan klip video kenyataan pengerusi Hindraf tersebut di luar negara yang memburukkan Malaysia walaupun Waytha Moorthy mendakwa kenyataan tersebut di buat 10 tahun yang lalu.
"Penjelasan tersebut memang tidak boleh diterima sama sekali kerana ianya bakal menjadi barah yang sukar di rawat kerana beliau telah memfitnah dengan mengatakan penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini telah didiskriminasi.
"Ia juga memberi imej buruk kepada Malaysia dan menimbulkan suasana tegang dalam negara dan MBNJ berpendapat, kenyataan itu juga seolah menunjukkan Waytha telah dipengaruhi dengan agenda luar dan bertindak seumpama pengkhianat di negara sendiri," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Waytha ini seolah olah jelas memberi niat sebenarnya apabila mencadangkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan boleh dilucutkan warganegara kerana menunjukkan sikap tidak taat setia kepada negara ini.
Sebagai pemimpin tertinggi MBNJ yang menjadi badan induk belia di negeri Johor dan mewakili kaum India, beliau sendiri telah menyaksikan banyak manfaat yang telah diterima oleh kaum India sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.
"Malah, melalui sistem yang sedia ada, orang India juga telah ramai menduduki jawatan tertinggi di pelbagai sektor sejak dahulu lagi dan program khusus untuk masyarakat india terutamanya di dalam bidang keusahawanan ekonomi dan pendidikan seperti Agenda Pelan Tindakan Tindakan Masyarakat India Malaysia juga telah dilancarkan pada bulan April lalu.
"Tindakan Waytha yang telah menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan seluruh rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang wajar di teladani dan Waytha mesti secara sukarela meletak jawatan dari kerajaan bagi membolehkan siasatan yang akan dijalankan lebih telus," katanya.
Pada masa sama, MBNJ juga berharap semua anak muda pelbagai kaum dan agama di negara ini dapat bersama sama menjadikan Malaysia lebih makmur, maju dan berdaya saing dengan sistem yang sedia ada kerana inilah konsep yang telah membawa Malaysia pada hari ini berpandukan kepada Perlembagaan negara.