Agong, Permaisuri berangkat ke Hari Keluarga TAFF

Iklan
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pada program hari keluarga Yayasan Kesuburan Tunku Azizah ( TAFF) di sini hari ini. -Foto Bernama

SERI KEMBANGAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis hari keluarga Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

Keberangkatan tiba Seri Paduka kira-kira jam 11 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.

Iklan
Iklan

Dalam majlis itu Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat penawaran tajaan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) kepada 60 pasangan bersempena hari keputeraan Seri Paduka baru-baru ini.

Dalam pada itu Tunku Azizah yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF ketika bertitah kelihatan menahan sebak sewaktu mengimbau keperitan mendapatkan zuriat.

Iklan

"Pada hari ini saya lebih mahu menjunjung kasih kepada Tuanku kerana setelah sembilan tahun setengah saya mencuba mendapatkan anak, 16 kali rawatan di Singapura, England dan Amerika, Tuanku sentiasa berada bersama saya.

"Hanya ibu yang senasib dengan saya yang tahu apa yang kita lalui, keinginan untuk mendapatkan anak, wanita lain yang melahirkan anak (secara normal) sangat beruntung tetapi kita diduga begini namun kita tidak pernah berputus asa.. dan tercetusnya TAFF ini adalah bagi membantu ibu dari segi kewangan dan sokongan berterusan,” titah Tunku Azizah.

Iklan

Baginda turut mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT kerana walaupun enam kali mengalami keguguran namun masih dikurniakan zuriat.

"Kalau sudah rezeki kita, ALLAH tetap akan berikan anak yang kita nak sangat tu dan kepada semua yang ada di sini, bayi yang hebat di sini anda adalah kanak-kanak yang hebat kerana anda semua anak yang ibu bapanya berusaha keras untuk mendapatkan anda,” titah baginda.

Sementara itu Tunku Azizah turut mengurniakan loket kepada dua pasangan kembar hasil IVF di mana ia merupakan pengurniaan tradisi yang menjadi identiti kepada bayi TAFF.

Sejak ditubuhkan pada Ogos 2004 TAFF berjaya membantu pembiayaan rawatan IVF kepada 94 pasangan yang melahirkan 116 bayi melalui kaedah rawatan itu.

Pada majlis itu turut diadakan sambutan hari ulang tahun ke-15 TAFF. - Bernama