118 peserta Kongres Maruah Melayu keracunan makanan

Iklan
Sebahagian peserta Kongres Maruah Melayu yang mengalami keracunan makanan menerima rawatan disediakan Jabatan Kecemasan HTAR dan HSA pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seramai 118 individu yang menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM) di Stadium Malawati di sini pagi tadi mengalami keracunan makanan selepas mengambil hidangan dipercayai disediakan penganjur.

Kebanyakan mangsa difahamkan terdiri daripada penuntut universiti.

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kesemua mangsa mengalami simptom muntah dan cirit birit ketika menghadiri kongres itu pada jam 11.15 pagi.

Menurutnya, sebanyak lima ambulans bersama petugas perubatan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Iklan

"Seramai 27 pesakit ditandakan dengan tag kuning manakala 91 lagi tag hijau dan tiada pesakit diberikan tag merah pada saringan awal.

"Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Shah Alam (HSA) diletakkan dalam status berjaga-jaga pada 11.50 pagi untuk menerima mangsa kritikal dan separa kritikal yang dikenal pasti di lokasi.

Iklan

"Pesakit tag hijau diberikan rawatan di lokasi dan dibenarkan pulang manakala tag kuning dibawa ke hospital dengan ambulans," katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat KMM, Prof Dr Zainal Kling mengesahkan semua peserta berkenaan mengalami keracunan makanan dipercayai menikmati hidangan nasi lemak disediakan pembekal sewaktu sarapan.

Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti pihak pembekal makanan susulan urusan pembekalan dikendalikan pihak universiti terlibat.

"Perkara ini di luar jangkaan kami dan KMM sudah menyerahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk merawat segera semua pesakit terlibat.

"Kita juga sudah mengarahkan pihak universiti membantu jabatan bagi memantau keadaan pesakit terbabit," katanya.