BAGAN SERAI - Berpukung ialah satu kaedah membedung bayi di atas buaian oleh masyarakat Banjar bagi memudahkan bayi tidur dengan cara menimang.
Bagaimanapun, ada yang mempersoalkan teknik itu, malah dikatakan mendera bayi.
Pengarah Program Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Banjar, Azlan Che Lob berkata, berpukung adalah amalan wajib masyarakat Banjar dan terbukti lebih berkesan apabila bayi dapat tidur lena.
"Biar pun kaedah ini dilihat seperti mendera, namun sebenarnya lebih selesa dan bayi tidur lebih lama. Hanya kain pelekat atau kain batik digunakan sebagai buaian, kain lampin atau tudung untuk lilitan pada leher bayi.
"Tali buaian serta sebarang kayu atau buluh berukuran 50 ke 70 sentimeter pula diperlukan untuk dijadikan cangkuk buaian," katanya ketika ditemui di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini.
Menurutnya, selain berpukung, pihaknya turut menampilkan adat istiadat pakaian tradisi serta adat persandingan kaum Banjar.
"Turut dipamerkan adat makan dalam kelambu iaitu pengantin perempuan diwajibkan mengasingkan pelbagai barangan dapur seperti gula, garam, bawang dan cili yang dicampurkan di dalam dulang sebelum dimasak dan dijamah bersama suami di dalam bilik tidur yang dilengkapi kelambu," katanya.
Sementara itu, Exco Kemudahan Awam Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari bercadang mewujudkan sebuah Galeri Banjar untuk tatapan generasi muda dan pelancong.
Katanya, pembinaan galeri itu akan dibincangkan di beberapa peringkat termasuk dalam Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kerian 2035.
"Cadangan galeri ini ialah di Bagan Serai tetapi masih mencari lokasi sesuai atau tanah kerajaan yang kosong untuk dibangunkan.
"Galeri ini penting kerana negara kita tidak mempunyai pusat pameran atau lokasi khas yang mempamerkan barangan, peralatan dan kebudayaan masyarakat Banjar," katanya.
Pihaknya turut menyarankan persatuan atau kelab Banjar dalam negara untuk membukukan menu makanan dan kuih muih tradisi etnik ini supaya agar tidak ditelan arus zaman.