SHAH ALAM -"Pagi tadi saya makan nasi lemak yang disediakan sebelum bertolak ramai-ramai menaiki bas ke Stadium Malawati," demikian kata salah seorang penuntut sebuah universiti yang mengalami keracunan makanan semasa menghadiri Kongres Maruah Melayu.
Penuntut yang hanya mahu dikenali sebagai Nazimi, 22, berkata, bas mula bertolak kira-kira jam 7.15 pagi sebelum berasa kurang selesa jam 12 tengah hari semasa di stadium dan terpaksa berulang-alik ke tandas.
"Ada juga kawan-kawan lain yang senasib seperti saya dan mereka dapat rawatan awal di lokasi (stadium) oleh paramedik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Shah Alam hari ini.
Menurut penuntut sarjana muda itu, ada antara rakannya yang mengalami simptom sepertinya ketika program berlangsung.
"Saya rasa nasi lemak yang kami makan pagi tadi itu mungkin jadi punca. Sebab itu yang kami makan sebelum kami bertolak ke kongres," katanya.
Katanya, keadaannya kini stabil dan hanya perlu melalui saringan awal daripada pihak hospital.
Sementara itu, salah seorang penuntut yang mahu dikenali sebagai Hadi, 22, turut mengesyaki nasi lemak yang dimakan penuntut lain menjadi punca kejadian keracunan makanan.
"Awalnya hanya seorang dua, lama kelamaan jumlah itu semakin ramai. Kira-kira jam 12 tengah hari, khemah mula dibuka untuk menempatkan mereka yang sakit bagi rawatan awal, boleh dikatakan masa itu dalam 100 orang juga yang dirawat.
"Keadaan itu menyebabkan ada antara kami masih dirawat di wad kecemasan zon kuning dan merah, manakala yang keadaannya stabil masih berada di klinik pakar untuk tindakan lanjut," katanya.
Difahamkan, setakat jam 5 petang, seramai 24 penuntut masih berada di zon kuning dan merah Hospital Shah Alam selain beberapa penuntut lain masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Sungai Buloh.
Terdahulu, kira-kira 118 individu yang menghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati di sini keracunan makanan selepas mengambil hidangan dipercayai disediakan penganjur pagi tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: 118 peserta Kongres Maruah Melayu keracunan makanan
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.15 pagi tadi memaklumkan mangsa mengalami simptom muntah dan cirit birit ketika menghadiri kongres berkenaan.