JERANTUT - Rezeki tidak pernah salah alamat. Hanya menggunakan kaedah menjaring, seorang nelayan sungai pulang dengan rezeki lumayan selepas mendaratkan seekor ikan tapah seberat 35 kilogram di Kampung Pedah, semalam.
Nelayan berusia 40 tahun yang mahu dikenali sebagai Farouk itu terpaksa menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menaikkan ikan air tawar tersebut.
Menurutnya, dia terpaksa bertarung hampir 10 minit sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut pada jam 1 tengah hari di Sungai Pahang berhampiran kampungnya.
"Saya bersama adik menjaring ikan berhampiran rumah kami dan ketika menarik jaring ke dalam bot, saya dapat merasakan sesuatu yang berat.
"Tiba-tiba seekor ikan besar muncul dan sangat agresif sehingga kami berdua terpaksa berusaha untuk menaikkannya ke darat," katanya.
Farouk berkata, ikan sepanjang hampir 1.5 meter itu dijual pada harga RM60 sekilogram kepada pembeli di sekitar daerah ini.
"Sepanjang bekerja sebagai nelayan sejak 2009, inilah ikan paling besar pernah saya dapat," katanya bersyukur dengan rezeki tersebut.
Menurutnya, wang hasil jualan ikan tersebut disimpan untuk dijadikan modal bagi membina sangkar ikan untuk menternak ikan air tawar.
"Saya berhasrat membela ikan air tawar namun tidak cukup modal. Saya harap ada pihak yang sudi membantu menyalurkan bantuan bagi mencapai hasrat itu," katanya.