KUALA LUMPUR - Aksi berbahaya dua pelajar menunggang motosikal mengundang padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, awal pagi tadi.
Pelajar sekolah menengah itu antara empat penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' yang dikesan polis dalam operasi kira-kira jam 1 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, kesemua mereka menunggang motosikal Yamaha 125Z, Honda EX5, Yamaha Y15ZR dan Yamaha Lagenda.
"Semakan mendapati dua daripada mereka adalah pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur berusia 14 dan 15 tahun manakala dua lagi berusia 22 dan 24 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, selain menunggang secara berbahaya, pelajar terbabit juga dikesan tidak memiliki lesen memandu.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati terdapat pengubahsuaian sistem enjin dan motosikal seperti menggunakan ekzos yang berbunyi kuat, menggunakan tayar kecil serta nombor pendaftaran 'fancy'.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tambahnya, operasi ini akan diteruskan terutama pada setiap hujung minggu dan cuti umum bertujuan menguatkuasa undang-undang selain memastikan pengguna lain berasa selamat berada di jalan raya.
Operasi diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.