SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum membuat keputusan berhubung permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan akan dibuat oleh Biro Politik PKR sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak itu belum dipertimbangkan oleh Biro Politik tetapi sudah ada kenyataan daripada saudara Fahmi Fadzil kita terima permohonan itu.
"Permohonan itu diterima secara automatik dalam talian tapi kita belum bincang,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Program Temu Rapat Bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan Formula 2020: Selangkah ke hadapan bersama Pakatan-Warisan di The Saujana Hotel di sini malam tadi.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan menerima permohonan keahlian daripada Salleh secara dalam talian.
ARTIKEL BERKAITAN: Salleh Keruak sahkan mohon jadi ahli PKR melalui online
Salleh dalam kenyataan dalam laman blognya, sallehsaid.com berkata, keputusan itu dibuat kerana menyifatkan PKR sebagai sebuah parti yang mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan juga suasana politik di Sabah.
Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak percaya, tiada masalah untuk parti itu menerima permohonan Salleh sekiranya ia menguatkan parti kedudukan parti.
Beliau secara peribadi juga sedia menerima penyertaan bekas menteri itu, namun terpulang kepada keputusan Biro Politik parti yang seterusnya dibawa kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR.