Nazirul Izzat tawan Kangar

Iklan
Nazirul Izzat muncul juara kelas CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Litar Kompleks Sukan Syed Putra, Kangar.

PELUMBA ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin melakar kejutan apabila muncul juara kelas CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berakhir di Litar Kompleks Sukan Syed Putra Kangar, Perlis hari ini.

Ia merupakan kemenangan pertama Nazirul Izzat sejak beralih ke kelas perdana itu pada Pusingan 5 di Terengganu Ogos lalu. Sebelum ini, pelumba berusia 19 tahun itu beraksi dalam kelas CP115 dan ternyata peralihan itu bukan langkah yang sia-sia.

Iklan
Iklan

Pada perlumbaan semalam, Nazirul Izzat yang bermula dari petak keempat tampil tenang mengharungi saingan di litar yang agak licin itu dan strateginya untuk tidak terburu-buru melancarkan asakan telah membawa kesan yang positif.

Dia menamatkan perlumbaan 12 pusingan itu dengan catatan masa 14 minit 39.128 saat (s) bagi meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan perbezaan masa 0.056s.

Iklan

"Terima kasih kepada pasukan yang telah memberi kepercayaan terhadap kemampuan saya selama ini. Kemenangan ini adalah hadiah istimewa buat seluruh krew pasukan yang telah bekerja keras menyediakan jentera terbaik buat saya.

"Saya akan terus bekerja keras dalam baki tiga pusingan selepas ini agar prestasi cemerlang ini dapat dikekalkan,” jelas Nazirul Izzat.

Iklan

Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, pelumba kelahiran Melaka itu mengakui sangat mencabar kerana semua pelumba bersaing hebat untuk berada dalam kelompok hadapan.

"Saya memilih untuk mengharunginya secara selamat dan enggan terburu-buru melancarkan asakan. Strategi saya berhasil walaupun sering dicabar oleh dua pelumba lain dibelakang saya. Kemenangan ini amat istimewa buat saya,” ujarnya lagi.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz yang merekodkan masa 14:39.371s. Pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abdul Jalil yang tampil terpantas pada sesi kelayakan semalam sekadar di tempat ketujuh dengan masa 14:49.185s.