KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya barisan pemainnya sudah bersedia menghadapi Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi Khamis ini.
Keyakinan itu disuarakan Cheng Hoe selepas melihat Harimau Malaya membelasah Sri Lanka 6-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam yang disifatkan sebagai antara permainan terbaik anak-anak buahnya.
"Banyak perkara positif yang ditunjukkan para pemain dalam perlawanan ini. Kita menguasai perlawanan, mencipta banyak gol dan sudah tentu ia memberikan keyakinan semasa bertandang ke Hanoi nanti.
"Pemain-pemain juga bijak mencari ruang untuk menjaringkan gol dan memecahkan taktikal bertahan yang digunakan Sri Lanka. Sebaik wisel dibunyikan, kita dah bermula dengan corak permainan agresif dan membuat banyak peluang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam semalam.
Cheng Hoe berkata, walaupun para pemainnya memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu, namun beliau mengakui wujudnya ruang untuk menambah baik prestasi pasukan.
"Secara keseluruhan, pemain-pemain yang diturunkan telah memberikan persembahan terbaik tetapi mereka masih boleh tingkatkan permainan dalam perlawanan akan datang terutama ketika menentang Vietnam nanti,” jelasnya.
Pada perlawanan yang dihadiri lebih 7,000 penyokong itu, Syafiq Ahmad meledak hatrik dan masing-masing satu gol menerusi Shahrul Saad, Norshahrul Idlan Talaha dan Akhyar Rashid.
Mengulas prestasi Syafiq, Cheng Hoe memuji corak persembahan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dan mengharapkan prestasi cemerlangnya berterusan ketika menentang Vietnam.
"Permainan Syafiq semakin meningkat dalam setiap perlawanan yang diharungi. Saya berharap dia dapat kekal konsisten dan dapat menjaringkan gol apabila kita memerlukan jaringan dalam perlawanan selepas ini,” ujar Cheng Hoe.
Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad kendalian Cheng Hoe itu harus fokus menjelang ujian lebih getir bertemu Vietnam Khamis ini.
"Perlawanan ini sememangnya pemanas badan terbaik buat Harimau Malaya, namun jangan biarkan kemenangan ini melekakan kita... sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat. Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan (dengan) konsisten, apa yang penting pemain-pemain perlu bangkit menentang Vietnam.
"Jadikan perlawanan sebelum ini dan kemenangan hari ini (semalam) sebagai pemangkin untuk kita bangkit dengan kemenangan. Misi itu tidak mustahil dengan berbekalkan semangat juang tinggi demi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Hamidin tetap menghamburkan pujian kepada semua pemain selepas kemenangan tersebut dan percaya kemampuan Harimau Malaya untuk melakar keputusan positif di Hanoi nanti.
Untuk rekod, Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.