Premis makanan bebas asap rokok

Iklan
Hasil tinjauan pemilik restoran juga dilihat menyahut larangan berkenaan dengan menampal pelekat larangan merokok di premis mereka. - Gambar kecil: Asri

SHAH ALAM - Suasana di beberapa buah premis restoran sekitar Shah Alam dilihat bebas daripada asap rokok pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di premis makan secara terbuka.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa lokasi premis mendapati tiada banyak perbezaan dari segi suasana di restoran kecuali tiada lagi kelihatan kepulan asap rokok mahu pun rokok elektronik.

Iklan
Iklan

Pemilik restoran juga dilihat menyahut larangan berkenaan dengan menampal pelekat larangan merokok di premis mereka.

Salah seorang pelanggan yang juga pelajar IPT, Asri Ashrab, 25, ketika ditemui berkata, penguatkuasaan itu tidak memberi impak besar kepadanya memandangkan dia tidak merokok namun memuji langkah itu sebagai sesuatu yang positif demi kepentingan awam.

Iklan

"Macam saya tak kisah pun, sebab saya tak merokok. Tapi kalau kepada perokok mungkin terkesanlah, ikut logik pun mesti mereka tak puas hati tak dapat merokok seperti biasa, namun kenalah patuhi penguatkuasaan ini.

"Secara keseluruhan, saya lihat penguatkuasaan ini bagus kerana dapat kurangkan orang lain dari terdedah kepada asap rokok ini. Kadang-kadang mereka tak sedar yang disebelah mereka ada penyakit asma atau sebagainya.

Iklan

"Cuma setakat dari pagi tadi saya tengok memang tak ada yang merokok, tapi bila malam atau awal pagi nanti belum pastilah bagaimana," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, rakannya, Mohamad Akif Zakaria, 22, berpendapat penguatkuasaan itu dilaksanakan demi memastikan masyarakat sekeliling terhindar daripada risiko sebagai perokok pasif.

"Pelaksanaan larangan ini kita faham, untuk kebaikan orang sekeliling. Macam saya merokok juga, tapi saya sokong langkah demi kebaikan bersama ini.

"Segelintir perokok mungkin rasa tak puas hati dengan penguatkuasaan ini, tapi saya sokong larangan ini. Saya pun bukanlah perokok tegar, jadi tak apalah kalau rasa nak merokok saya ke tempat lain sajalah," katanya.

Oktober lalu Kementerian Kesihatan mengumumkan akan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini, 1 Jan 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500.Salah seorang pelanggan yang juga pelajar IPT, Asri Ashrab, 25, ketika ditemui berkata, penguatkuasaan itu tidak memberi impak besar kepadanya memandangkan dia tidak merokok namun memuji langkah itu sebagai sesuatu yang positif demi kepentingan awam.