Rezeki lukisan seni 'doodle'

Iklan
Wan Muhammad Huzaifah membawa pulang RM1,000 dalam pertandingan mewarna kasut bertemakan patriotik anjuran Kasut You di Mydin Mall Gong Badak.

KUALA TERENGGANU - Minat terhadap lukisan seni 'doodle' menjadi rezeki kepada penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Wan Muhammad Huzaifah Mohd Basir, 20, dari Fakulti Seni Halus dan Seni Reka berkata, selain simpanan, wang tunai yang dimenangi dalam setiap pertandingan digunakan untuk membiayai pengajian.

Iklan
Iklan

"Saya tidak mengambil pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi saya perlu berkorban,” katanya ketika ditemui sempena Pertandingan Mewarna Kasut bertemakan patriotik anjuran Kasut You di Mydin Mall Gong Badak.

Padaq pertandingan itu, Wan Muhammad Huzaifah mendapat tempat pertama dengan membawa pulang RM1,000 serta sijil penghargaan.

Iklan
Hasil lukisan Wan Muhammad Huzaifah ini telah mendapat permintaan untuk dibeli oleh pelanggan kedai Kasut You dan wang 80 peratus daripada wang hasil jualan diberikan kepada golongan memerlukan.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, selain melukis kartun dia juga mahir dalam lukisan mural, reka bentuk grafik, lukisan minyak (oil painting) selain suka meneroka seni tampak atau seni visual serta sedang berjinak dalam seni fotografi.

"Saya ia juga mahir dalam percetakan dan memiliki totebag (beg tangan) jenama sendiri iaitu ‘budak Art’ yang dicetak sendiri.

Iklan

"Memang saya minat melukis sejak kecil. Ketika itu saya suka melukis pelbagai karakter kartun. Saya mula aktif dalam program atau pertandingan sejak di tingkatan empat pada tahun 2015,” katanya.

Wan Muhammad Huzaifah berkata, dia pernah menyertai pertandingan ‘Plain Air Challenge’ di Kellie’s Castle, Perak selama tiga jam tetapi gagal mendapat sebarang tempat.

"Mungkin disebabkan tiada pengalaman ketika itu tetapi saya terima kekalahan dengan hati terbuka namun bermula dari situ saya kenal pelukis lain yang menjadi semangat serta rujukan untuk lebih aktif dalam seni ini,” katanya.

Wan Muhammad Huzaifah ketika menyertai pertandingan anjuran Lexus.

Dia yang pernah menyertai 15 pertandingan sejak 2015 berkata, lukisan seni 'doodle' semakin diminati di negara ini

"Dalam pertandingan yang saya sertai, ramai peminat seni ini termasuk pelancong asing sanggup menunggu lukisan kami siap. Kalau lukisan tu ambil masa lima jam, lima jam jugalah mereka tunggu.

"Semua orang boleh melakukannya namun untuk mendapatkan hasil yang cantik memerlukan banyak latihan. Di Malaysia ada kumpulan mengaktifkan seni ini iaitu ‘doodict’ singkatan kepada ‘doodle addict’,” katanya.

Wan Muhammad Huzaifah juga bersyukur dikurniakan kebolehan itu dan berharap cita-citanya untuk menjadi pensyarah dalam bidang seni menjadi kenyataan.

"Saya harap berkat kelebihan kurniaan ALLAH ini dapat membanggakan keluarga seterusnya meningkatkan lagi seni tanah air ke persada antarabangsa,” katanya.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, keluarganya termasuk ibu, Raja Khairul Liza Raja Ahmad, 45, memberi semangat untuk terus maju dalam bidang itu.

Antara pertandingan awal yang disertai Wan Muhammad Huzaifah iaitu ‘doodle battle on box’ di KL Gateway Mall.

Katanya, kejadian menimpa ayahnya, Mohd Basir Mokhtar, 44, yang pernah kehilangan kerja akibat kemalangan mendorongnya berusaha lebih keras untuk terus maju dalam bidang diceburi.

"Masa ayah tidak dapat bekerja, kami bergantung wang daripada bantuan Pertubuhan Keselamatan Pekerjaan (Perkeso) untuk menampung pembelajaran. Sekarang ayah saya sudah sembuh dan bekerja sendiri,” katanya.