SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan akan melakukan pemulihan bagi memantapkan semula Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, usaha itu dibuat selepas ramai pihak menyifatkan beliau dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menguruskan lembaga itu dengan baik.
Ciapan itu dibuat bagi mengulas komentar Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mengenai artikel bertajuk ‘Mengatasi Jangkitan LTAT’ dalam ruangan kolumnis di akhbar ini.
Dalam artikel terbabit, Kadir mengulas mengenai punca dividen LTAT jatuh merosot sehingga menyebabkan ramai pihak marah dan mempersoalkan perkara berkenaan.
Malah dalam komentar itu juga, Kadir turut mendakwa dividen LTAT jatuh disebabkan kelemahan tadbir urus, penyelewengan, rasuah dan pecah amanah dalam pengurusan banyak agensi dan syarikat ini.
Katanya, jika segala langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan oleh pengurusan baharu berjalan seperti dirancang, LTAT akan kembali pulih dalam masa dua hingga tiga tahun.
Selasa lalu, Mohamad Sabu berkata, LTAT akan memindahkan pelaburan yang difikirkan tidak munasabah sebagai antara usaha memperbetulkan akaunnya.
Katanya, LTAT juga akan mencari pelaburan baharu tanpa membabitkan unsur kepentingan.
Beliau berkata, pelaburan yang dibuat sebelum ini dilihat ada kepentingan tertentu memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT terdahulu juga turut memegang saham besar dalam beberapa syarikat.
Terdahulu, Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018 dengan jumlah agihan RM161.2 juta.
Menurutnya, pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta.
Katanya, ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.
ARTIKEL BERKAITAN: Dividen LTAT rendah kerana salah labur: Mohamad Sabu
LTAT telah jalankan tanggungjawab, kata Mat Sabu