Lega kedai mamak tiada lagi asap rokok

Iklan
Sebahagian pelanggan Restoran Al-Matha'am, Parit Buntar menunjukkan isyarat bagus susulan menyokong langkah kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam bermula hari ini.

PARIT BUNTAR - Arahan baharu kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam bermula hari ini menerima sambutan menggalakkan orang awam yang tidak merokok.

Rata-rata pelanggan di premis restoran 24 jam dan kedai mamak menarik nafas lega kerana mereka kini tidak lagi diganggu dengan bau asap rokok yang dihembus pelanggan perokok di premis terbabit.

Iklan
Iklan

Seorang pelanggan, Mohd Shahrul Fikri Azhar,18, berkata, arahan terbaharu ini adalah keputusan tepat kerana golongan bukan perokok tidak lagi terkongkong menikmati suasana persekitaran tidak sihat akibat asap rokok.

Menurutnya, di sebalik dakwaan arahan penguatkuasaan itu bakal menjejaskan kehadiran pelanggan ke kedai mamak, pihaknya pula berpendapat lebih ramai lagi pelanggan tidak merokok akan kembali menjadikan premis kedai terbabit sebagai 'port' mereka melepak selepas ini.

Iklan

"Sekarang saya lega kerana kedai mamak tidak lagi tercemar dengan asap rokok.

"Saya juga percaya di sebalik dakwaan kedai mamak merupakan 'port' lepak utama perokok, premis terbabit juga mampu menarik kembali lebih ramai bukan perokok untuk mengunjunginya,"katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di sebuah restoran mamak di sini hari ini.

Iklan

Seorang lagi pelanggan, Mohd Aidel Ikhwan Abdul Hamid,18, berkata, segelintir perokok seperti tiada kesedaran sivik dan menghormati hak bukan perokok sebelum ini.

"Justeru keputusan dibuat memberi keadilan kepada orang awam. Saya bersetuju dengan langkah ini,” ujarnya.

Namun, di sebalik penerimaan positif, ada segelintir pihak pula yang mahu larangan ini ditangguhkan.

Wakil pengusaha Restoran Al-Matha'am, Riezvi Nasaruddin,32, berkata, penangguhan sementara perlu dibuat sehingga kaedah penyelesaian menang-menang dicapai.

"Arahan terbaharu kerajaan itu ternyata memberi kesan langsung kepada hasil pendapatan premis makanan kerana kedai mamak kebiasaannya menjadi 'port' golongan perokok untuk melepak dan menikmati hidangan.

"Kami bimbang keputusan terbaharu kerajaan ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi pengusaha kedai mamak di seluruh negara,” katanya.

Katanya, meskipun perokok masih boleh merokok pada jarak tiga meter dari premis, arahan itu masih menyukarkan pelanggan merokok dan dibimbangi keputusan itu akan merugikan pengusaha kedai makan.