Aura Tok Mat masih kuat di Rantau

Iklan
Dataran Rantau kini menjadi tempat istirehat oleh penduduk sekitar pekan Rantau.
SEREMBAN - Aura penyandang Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra di kenali sebagai Tok Mat, masih kuat di Dun tersebut, meski pun hilang kelayakan sebagai Adun Rantau.

Tinjauan Sinar Harian ke Rantau semalam, rata-rata penduduk masih mahukan Mohamad sebagai wakil rakyat mereka, memandangkan jasa dan kepimpinannya sebelum ini dilihat sangat cemerlang mentadbir Negeri Sembilan.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali, mengakui sangat berharap PRK kali ini kekal milik Mohamad.

Katanya, meskipun Mohamad bukan lagi dalam kerajaan, tetapi jiwa dan kepimpinan ikon Rantau itu sebagai wakil rakyat sangat dihormati.

"Sejak Tok Mat jadi wakil rakyat di Rantau, dan kemudian dilantik menjadi Menteri Besar, kebajikan rakyat dijaga dengan baik.

"Banyak jasa dan pengorbanan dilakukan Tok Mat kepada penduduk di Rantau, saya akui dia adalah seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, mesra dan mudah didekati oleh penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang telah berniaga di pekan Rantau sejak 10 tahun lalu berharap, penduduk di Rantau tidak melupakan jasa Mohamad selama lebih 15 tahun berkhidmat.

Dalam pada itu, penduduk yang dikenali sebagai Kak Nah, 40, berkata, siapa pun calon yang diletakkan oleh PH, dia akan tetap mengundi Mohamad (jika bertanding).

Katanya, dia tidak memihak kepada mana-mana parti, malah tidak pernah menjadi ahli untuk mana-mana parti politik sebelum ini, tetapi dia memilih atas dasar kewibawaan dan kebijaksanaan Mohamad sebagai seorang pemimpin.

"Tok Mat tidak patut dihukum, bagi saya bukan salah dia bila diumumkan menang tanpa bertanding pada PRU14 lalu, kerana itu adalah di luar kuasanya.

"Tetapi PRK yang akan diadakan nanti berlainan situasinya, jika sebelum ini beliau kerajaan tetapi sekarang tidak lagi, saya agak kecewa apabila perlu ada PRK lagi.

"Jadi kita sendiri tidak pasti bagaimana penerimaan pengundi Rantau selepas ini, dalam politik apa pun boleh berlaku,tapi saya berdoa Tok Mat menang,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon PKR, Dr S Streram, Kak Nah memaklumkan hanya mengenali Timbalan Ketua Cabang Rembau itu, setelah berita mengenainya memfailkan petisyen PRU14.

Katanya, sebelum ini beliau tidak mengenali Streram, memandangkan beliau bukan orang Rantau.

Sementara itu, seorang kerani di Kuala Sawah, Azura berkata, sebagai anak jati Rantau, dia tidak terkejut apabila Dun tersebut menjadi tumpuan pemimpin politik.

Katanya, yang lebih utama sekarang ini pemilihan calon bagi parti yang bertanding, perlulah meletakkan mereka yang boleh membuat kerja sebagai Adun dengan penuh bertanggungjawab dan bukan sekadar mengejar nama sahaja.