KUALA LUMPUR - Kecanggihan dan teknologi terkini penggunaan bank data asid deoksiribonukleik (DNA) membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes jenayah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, apa sahaja teknologi terkini khususnya jenayah alam maya seperti jenayah siber adalah platform baharu perlu difokuskan bagi menyelesaikan kes tersirat dan sebagainya.
Menurutnya, pihaknya melihat bahawa jenayah konvensional mengarah kepada perkara lebih rumit dan sukar dijangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang dari sudut jenayah.
"Dunia forensik semakin hari semakin kompleks tapi banyak perkembangan kejayaan dikecapi dari tahun 2013 di bawah Akta DNA di mana kira-kira 100,000 sampel dibuat.
"Sebanyak 60 kes padanan berjaya dibuat menggunakan bank data DNA yang mana terdapat kes sejak 20 tahun lalu berjaya diselesaikan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik Untuk Agensi Penguatkuasa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Tambah Mazlan, dengan penganjuran simposium itu banyak ilmu dan perkongsian mengenai teknologi dapat diperoleh dengan negara luar.
Katanya, pihaknya percaya sekiranya PDRM menerima lebih banyak teknologi atau perkakasan canggih sudah pasti banyak kes forensik sains dapat diselesaikan khususnya dari segi persampelan.
"Terdapat satu kes rogol yang terjadi kira-kira 20 tahun lalu yang kita dapat selesaikan melalui penggunaan bank data DNA. Pelakunya sebelum itu telah dipenjara atas kesalahan lain namun penggunaan bank data DNA ini membolehkan kita mengesan jenayah individu ini dan menyabitkan kesalahan rogol yang dilakukannya lalu.
"Ini sesuatu perkara yang kita boleh meyakinkan mahkamah iaitu sains forensik," katanya.
Simposium itu disertai kira-kira 500 peserta dari PDRM dan pelbagai agensi luar seperti Jabatan Kastam Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. Seramai 18 ahli panel yang terlibat dalam sains forensik dari dalam dalam dan luar negara seperti dari Amerika Syarikat dan Sepanyol akan membuat pembentangan di simposium yang berlangsung selama tiga hari ini.
"Kita berharap bank data juga dapat ditambah baik. Polis sentiasa berbincang dengan Jabatan Kimia Malaysia dalam pelbagai sudut tentang apa yang boleh dikemaskini,” katanya.