SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas setakat ini masih belum membuat keputusan sama ada akan memberi keterangan berhubung afidavit berhubung kenyataannya menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues mengenai punca kematian, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Hanif Khatri Abdulla berkata, ia akan diketahui sebelum perbicaraan kes itu bermula.
"Peguam Negara belum menetapkan sama ada pihaknya akan menggunakan dua afidavit yang difailkan sebelum ini atau memberi keterangan dalam kandang saksi atau gabungan kedua-dua kaedah itu.
"Kita telah memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Peguam Kanan Persekutuan untuk menangguhkan prosiding kes komital itu pagi tadi," katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili Tommy berkata, pihaknya hanya menerima arahan akan menggunakan dua afidavit yang difailkan Peguam Negara dan bekas pengendali inkues, Hamdan Hamzah sebelum ini.
"Berhubung permohonan utama, kami telah menghantar surat pada 30 September lalu kepada Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate untuk memaklumkan responden terima pakai menggunakan dua afidavit sebelum ini.
"Kami memohon satu tarikh yang singkat untuk penggantungan prosiding," katanya.
Koroner Rofiah Mohamad kemudian menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh mendengar permohonan penggantungan perbicaraan komital itu.
Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.
Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.