KOTA BHARU - Mahkamah Rayuan Syariah, di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan atas perintah persetujuan harta sepencarian ibu bersama 11 anak yang membabitkan hartanah bernilai RM3 juta.
Keputusan tersebut dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Pemohon-pemohon ialah Timbalan Pengarah PTG Kelantan, Fazrul Azan Mohd Basari; Pentadbir Tanah Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Rosnazli Amin dan Pentadbir Tanah PTG Kelantan, Datuk Zamri Ismail.
Daud berkata, permohonan itu ditolak kerana pemohon tidak boleh membatalkan perintah Mahkamah Syariah berikutan Mahkamah Tinggi Sivil juga sudah membuat pengesahan terhadap perintah itu pada 12 Mei lalu.
"Mahkamah Tinggi Sivil sudah mengeluarkan perintah mengesahkan pembahagian harta sepencarian berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 Mac lalu.
"Sehubungan itu Mahkamah Rayuan Syariah hari ini memerintahkan supaya tiga pemohon ini mendaftarkan dan melaksanakan perintah itu (perintah Mahkamah Tinggi Syariah) tersebut selewat-lewatnya esok,” katanya.
Pemohon-pemohon diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Kerajaan Kelantan, Datuk Shahidani Abd Aziz dan Pegawai Undang-Undang PTG, Ainis Abu Hassan Shaari.
Responden-responden pula diwakili Peguam Syarie, Che Rosmah Mohamed Zain, Nurul Shuhada Abd Aziz, Mohd Sufian Md Zakaria dan Mohd Yuslan Yusoph.
Terdahulu, permohonan semakan tersebut difailkan tiga pemohon terbabit pada 1 Ogos lalu dengan menamakan suri rumah, Nik Hasnah Nik Abdul Kadir, 86, sebagai responden pertama dan 11 anak berusia antara 45 hingga 70 tahun sebagai responden kedua hingga ke-12.
Semakan kehakiman difailkan pemohon-pemohon dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah membuat perintah harta sepencarian tersebut tanpa mematuhi peruntukan Seksyen 9 dan 14 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan No 31/1982 memandangkan perintah turut berkait pembahagian harta pusaka selain daripada harta sepencarian.
Pemohon mendakwa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat apa-apa perintah berkenaan harta pusaka dan hanya boleh menentukan harta sepencarian.
Sementara itu, Che Rosmah ketika ditemui berkata, keputusan itu penting bagi mengekalkan perintah Mahkamah Syariah di dalam bidang kuasa eksklusif khususnya dalam kes tuntutan dan pembahagian harta sepencarian berasaskan peruntukan undang-undang.
"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini sekali gus mengangkat martabat Mahkamah Syariah dan mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menghormati setiap perintah yang dibuat oleh mahkamah ini,” katanya.