Solat hajat, doa 'senjata' terakhir

Iklan
348 peserta rancangan pemulihan tanah Felcra Bukit Tandak membuat solat hajat.

RANTAU PANJANG - Solat hajat dan doa menjadi 'senjata' terakhir kepada 348 peserta rancangan pemulihan tanah Felcra Bukit Tandak dalam menyelesaikan isu pertikaian kerja-kerja penebangan pokok getah membabitkan kerajaan negeri.

Hal itu berikutan beberapa usaha para peserta untuk bertemu pimpinan kerajaan negeri menemui jalan buntu bagi mencari titik persamaan.

Iklan
Iklan

Para peserta memilih untuk menunaikan solat hajat supaya pertikaian yang timbul berjaya diselesaikan secara telus.

Biarpun terpaksa 'berpanas' di bawah terik mentari, kira-kira 100 peserta Felcra Bukit Tandak tidak berganjak sebaliknya tetap tenang dan khusyuk menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Imam Masjid Felcra Bukit Tandak, Yusoff Mamat, 73.

Iklan

Ahli Jawatankuasa Peserta Felcra Bukit Tandak, Mohd Rozali Mat Nor berkata, solat hajat itu bertujuan memohon supaya pintu hati pimpinan kerajaan negeri terbuka untuk menyelesaikan isu tersebut dengan sebaik mungkin dan adil.

"Kasihanilah kami yang sudah meneroka tanah di kawasan ini sejak tahun 1960-an lagi. Kami yang menghidupkan kawasan Bukit Tandak sehingga menjadi seperti ketika ini," katanya.

Iklan

Menurutnya, mereka berharap kerajaan negeri tidak terlalu angkuh.

Katanya, itu kerana peneroka di sini adalah mereka yang memberikan kemenangan padu kepada calon Pas pada pilihan raya terdahulu.

"Kami berani bersumpah bahawa 348 peserta Felcra Bukit Tanah bukannya penceroboh dan bukan mengambil tanah milik orang. Kami teroka tanah milik kerajaan yang terbiar sejak tahun 1960-an lagi," katanya.

Pada 2 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 348 peserta di Felcra Bukit Tandak mendakwa hilang punca pendapatan apabila tanaman getah seluas 689 hektar yang menjadi sumber rezeki utama ditebang oleh kerajaan negeri.

Lebih memeritkan lagi peserta mendakwa pokok getah yang diusahakan di atas tanah seluas 689 hektar sejak 40 tahun itu ditebang ketika pertikaian berkaitan isu tersebut masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah.

Imam Masjid Felcra Bukit Tandak,Yusoff mengimamkan solat hajat.