KUALA LUMPUR - Perkahwinan jurumekap profesional, Datuk Alha Alfa yang berlangsung semalam bertukar kecoh apabila kek perkahwinan dibina menggunakan material kaca bernilai RM5,000 tumbang ketika sesi bergambar bersama pengantin.
Beberapa rakaman video saat kek itu tumbang tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi dari netizen namun pengusaha kosmetik itu menyifatkan insiden tersebut memori yang tidak dapat dilupakan.
Alha berkata, insiden itu sudah ditakdirkan malah bersyukur tiada kecederaan dilaporkan ketika kek bertingkat dipercayai lebih 3 meter itu tumbang.
"Tidak apa, rezeki takat itu sahaja, saya tidak marah pun, beratus kali depa minta maaf walaupun dalam perancangan nak pacak kek itu di tengah-tengah rumah. Hahahaa berderai semuanya.
"Apa pun abang @nasgreatidea_weddings memang terbaik kek tu. Tidak mengapa kek boleh dicari.
"Kenangan yang terjadi itu memori selamanya. Maaf yang tidak dapat merasa kek itu, syukur tiada orang di belakang kek kalau tidak jenuh berjahit muka,” katanya berseloroh.
Alha atau nama sebenar Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, 31, berkata, berkemungkinan meja atau tapak kek itu tidak dapat menampung berat kek berkenaan.
"Mungkin tapak penyokong pada kek itu dah tak mampu tampung berat atau ada tetamu tersentuh kek sampai tidak stabil.
"Bagaimanapun, saya dan isteri amat hargai, minta ampun minta maaf jika ada kekurangan dari pihak kami,” katanya menerusi entri Instagram miliknya.
Sementara itu, Alha mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Noor Azlin Ismail, 23, pada 29 September lalu dan majlis resepsi keduanya bertempat di Dewan Perkasa Mindef di sini semalam.
Dalam pada itu video insiden kek tumbang yang dimuat naik di Instagram Alha lima jam lalu meraih 414,136 tontonan.
Di ruang komen netizen rata-rata memberi sokongan moral kepada pasangan pengantin itu dan mendoakan kebahagiaan mereka.
Malah netizen juga sempat bergurau,"Mujur sempat bergambar, hehe." kata rizunanasanrose