SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling memohon individu yang mengenali waris kepada dua bayi perempuan yang ditinggalkan di Baby Hatch Orphane Care untuk tampil bagi membantu urusan penempatan mereka.
Menerusi satu kenyataan, bayi pertama dikenali sebagai Hana Aafiyah yang berusia satu bulan ditinggalkan di pusat jagaan itu pada 28 Ogos lalu sekitar jam 10.57 pagi tanpa sebarang dokumentasi.
Katanya, ketika ditemui bayi berkenaan berada dalam keadaan dibaluti kain bedung bercorak.
"Bayi tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya.
Bagi kes kedua pula, JKM Petaling sedang mengesan waris kepada seorang bayi berusia sebulan dikenali sebagai Nur Aeira Safiya.
Menurutnya, bayi tersebut ditemui di pusat jagaan terbabit pada 9 September lalu sekitar jam 10.30 pagi dengan memakai bedung.
"Bayi berkenaan juga dibawa ke PPUM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"JKM Petaling berharap orang awam yang mengenali ibu atau waris kedua-dua bayi berkenaan agar dapat menghubungi Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 037842 2584/03/7842 2587 atau 019-3481479," katanya.