SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta rakan dari Sabah dan Sarawak sekiranya beliau ikhlas mahukan kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan.
Demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan terbaharunya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut menurutnya, UMNO dan Pas harus diberi peranan signifikan dalam memulihkan negara ini, bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.
"Buat masa ini, pisau dan mentimun di tangan Dr Mahathir tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat.
"Terserahlah kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan kerana buat masa ini, majoriti orang Melayu/Islam sudah membuat keputusan menolak PH (Pakatan Harapan)," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut bersetuju dengan gesaan Dr Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu, namun mempersoalkan bagaimana bentuk penyatuan itu.
"Secara rasionalnya, kumpulan kecil umat Melayu Islam harus menyertai kelompok yang lebih besar. Hari ini kumpulan terbesar orang Melayu Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah.
"Saya yakin UMNO dan Pas tiada masalah untuk menerima penyertaan Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam agenda besar umat Melayu Islam ini.
"Persoalannya, apakah Dr Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu Islam di negara ini?
"Insya-ALLAH jika Dr Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan Pas,” katanya.
Bagaimanapun dakwa Mohamad, masalah yang berlaku hari ini adalah kerana Dr Mahathir hanya melihat dari sudut pandangan dirinya.
"Ada pandangan beliau yang betul dan ada juga yang salah. Yang benar kita kena akui benar, namun banyak keputusan kerajaan PH hari ini telah menyebabkan orang Islam dan Melayu marah dan kecewa serta merasa terhina di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau juga melihat Kongres Maruah Melayu yang berlangsung turut mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas selama ini bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu dan pribumi lain sedang terhakis di bawah PH.
"Rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini turut diakui sendiri Dr Mahathir dalam ucapan penutupnya.
"Walaupun Tun Mahathir cuba meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Melayu dan UMNO, namun ia tidak dapat menafikan kelemahan kerajaan PH,” katanya.