KUALA LUMPUR -"Saya dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, apa yang salah pada saya? Saya boleh bercakap Bahasa Melayu lebih baik dari orang lain.”
Demikian reaksi Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditanya berkenaan cadangan menghapuskan sekolah vernakular yang dibangkitkan pada program Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.
Tegas beliau, sekiranya ada pihak menuduhnya sebagai rasis, beliau menyarankan agar bandingkan dirinya dengan pemimpin DAP dan anda akan mendapat jawapannya.
"Saya fikir sama ada anda dari Sekolah Kebangsaan (SK) atau aliran lain, itu tidak menjadi masalah. Ini berkait dengan hati anda.
"Jangan senang-senang salahkan sistem pendidikan. Saya fikir ini adalah isu penting yang perlu dijawab menteri terutamanya menteri senior dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Kongres Maruah Melayu yang berlangsung semalam mahu kerajaan mewujudkan sekolah kebangsaan atau satu aliran bermula 2026.
Resolusi itu dicadangkan Mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatin Aqilah Rahim.
ARTIKEL BERKAITAN: Kongres Maruah Melayu: Cadang sekolah satu aliran bermula 2026
Menurutnya, sekolah vernakular tidak dapat menyatukan kaum dan membentuk perpaduan kerana menggunakan bahasa pengantar yang berbeza.
"Setiap sekolah vernakular seperti sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) menggunakan bahasa pengantar berbeza iaitu mengikut bahasa mereka.
"Sebab itu resolusi pemansuhan secara beransur dalam tempoh enam tahun bertepatan kerana pendidikan merupakan satu kunci kepada alat penyatuan perpaduan dengan satu bahasa pengantar dan kurikulum seragam di sekolah," katanya.