JALALABAD - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 27 lain cedera susulan serangan bom yang menyasarkan sebuah bas membawa rekrut tentera di Jalalabad, timur Aghanistan hari ini.
Jurucakap gabenor Nangarhar, Ataullah Khogyani berkata, sebutir bom diletakkan di sebuah motosikal yang diletupkan ketika bas melalui kawasan kejadian.
Iklan
Iklan
"Malangnya, 10 orang awam termasuk seorang kanak-kanak terbunuh manakala 27 yang lain cedera dalam insiden terbabit," katanya.
Tidak dapat dipastikan berapa ramai rekrut tentera yang cedera atau jika mereka dikira sebagai orang awam.
Nasrat Rahimi, jurucakap Kementerian Dalam Negeri dilaporkan mengesahkan jumlah mangsa.
Sementara itu, Rahim Jan, seorang pencuci kereta yang berada berhampiran lokasi kejadian berkata, letupan kuat itu menyebabkannya terjatuh dan mengalami luka.
Setakat ini, tiada pihak tampil bertanggungjawab namun Jalalabad sering menjadi sasaran Taliban dan Daesh. - AFP