Bersangka baik kepada ALLAH SWT, sabar dengan ujian, musibah yang dihadapi...

Iklan
BANYAKKAN berdoa kepada ALLAH SWT agar diberikan kekuatan iman dan bersangka baik kepada-NYA atas segala ujian yang dihadapi.

"KALAULAH saya tidak buat begitu sebelum ini, tentu tidak jadi begini."

Sedar atau tidak, ayat itu kadangkala terpacul daripada bibir kita pada saat kita menyesali akan sesuatu yang lazimnya membawa hasil yang kurang menyenangkan.

Iklan
Iklan

Bolehkah kita menyalahkan takdir dengan apa yang berlaku dalam hidup kita sebelum ini?

Sebagai hamba-NYA, bersangka baik kepada ALLAH SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi.

Iklan

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Ketahuilah bahawa seseorang daripada kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada ALLAH SWT." (Riwayat Muslim)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis berkenaan menyatakan:"Para ulama berpendapat, makna bersangka baik kepada ALLAH SWT dengan percaya ALLAH SWT Maha Penyayang dan Maha Pengampun."

Iklan

Sebenarnya, percaya kepada takdir merupakan salah satu daripada Rukun Iman yang wajib dipercayai oleh setiap manusia.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umatnya merungut dan menyalahkan takdir yang ditetapkan ALLAH SWT.

Baginda SAW bersabda: "Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan 'kalaulah aku melakukan itu dan ini'. Akan tetapi, katakanlah 'takdir (ketentuan) ALLAH dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi'." (Riwayat Sahih Muslim)

Sebaiknya, bersangka baik kepada ALLAH SWT dan sabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi.

Oleh itu, kita disarankan supaya memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan iman.

Pelajarilah dan tambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami serta menambah keyakinan terhadap ALLAH SWT.

(Sumber: Al-Kafi #1249: Hukum Menyalahkan Takdir dalam Hidup Kita Sebelum Ini, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)