Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan sehingga 23 Oktober

Iklan

KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 23 Oktober ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan berkata, perintah berkurung dari jam 6 petang sehingga jam 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya perintah berkurung itu orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara jam 6 petang sehingga jam 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Iklan

"Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan Esszone,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. - Bernama