BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah stesen minyak di Lebuhraya Butterworth-Kulim di sini kelmarin.
Dalam kejadian itu, suspek didapati mencuri wang sebanyak RM20,488 yang terdapat di dalam peti besi dan laci pejabat stesen minyak tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek ditahan pada jam 11.40 malam kelmarin di Flat Taman Haji Mohd Amin, Permatang Pauh.
Menurutnya, hasil siasatan, suspek berusia 32 tahun itu merupakan bekas pekerja stesen minyak tersebut dan telah berhenti kerja sejak Mei lalu.
"Suspek berasal dari Perak dan tidak bekerja selain mempunyai satu rekod jenayah melibatkan jenayah mencuri. Dia kini direman tiga hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut.
"Polis merampas beberapa barangan antaranya topi keledar, sarung tangan dan dua anak kunci. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM9,744,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Nik Ros Azhan berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku telah memecah masuk ke dalam stesen minyak tersebut dengan menggunakan kunci pendua."Kunci pendua itu dibuat ketika suspek bekerja di stesen minyak tersebut. Suspek mengetahui kedudukan wang tersebut dan bertindak mencurinya untuk membayar hutang,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja wanita stesen minyak tersebut pada jam 9 pagi semalam ketika mahu memulakan kerja.
"Dia kemudiannya mendapati wang jualan yang disimpan dalam peti besi dan laci pejabat telah tiada. Wanita tersebut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek memecah masuk ke pejabat itu pada jam 4 pagi.
"Suspek didapati mengambil pelbagai wang jualan antaranya wang Touch N Go dan makanan ringan. Wanita tersebut terus membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk premis.