RANTAU PANJANG - [DIKEMASKINI] Sumbat selagi boleh! Itulah taktik yang dilakukan penyeludup apabila sanggup memuatkan seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria untuk dibawa masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.
Bagaimanapun tindakan licik itu berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan selepas berjaya menahan MPV itu ketika melakukan rondaan rutin bermotosikal di sekitar pangkalan haram Tok Deh, di sini petang semalam.
Dalam rondaan jam 1.45 petang itu, anggota PGA Batalion 7 Kuantan terserempak dengan sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya kemudian mengarahkan pemandu MPV itu supaya memberhentikan kenderaan tersebut namun dia terus memecut laju dan kemudian terbabas ke dalam semak berhampiran.
"Menyedari kehadiran anggota PGA pemandu tersebut telah bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran Sungai Golok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas MPV itu menemui 21 lelaki dan dua wanita warga Myanmar yang berusia antara 18 hingga 49 tahun.
Katanya, kesemua warga Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.
"Kesemua 23 PATI dibawa ke PGA Taman Bakti Rantau Panjang untuk pemeriksaan dokumentasi lanjut," katanya.
Azhari berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen.
Katanya, PGA Batalion 7 Kuantan akan terus melipat gandakan operasi dalam membanteras aktiviti jenayah di kawasan sempadan di negeri ini.